Tuesday, August 21, 2012

"Arwah Abah Tidak Suka Menyusahkan Orang Biarpun Ramai Kawan"


Yang pergi tidak akan kembali. Merintih bukan jalan terbaik, tetapi sebagai anak mengingati kenangan bersama Arwah Abah akan titipkan sekali doa. Kerana setiap ingatan itu akan mengalirkan air mata betapa besarnya pengorbanan dan siapa Arwah.

Aidilfitri 2012, raya pertama tanpa Arwah Abah. Di celah ruang masa bersendiri, satu persatu ingatan mengenai bersama Arwah Abah bermain di fikiran. 2 hari beraya di kampung buat Uichi Gaban asyik teringatkan Arwah Abah. Maka dalam memberi ingat kepada adik-adikku mahupun perkongsian kepada rakan-rakan pembaca untuk sekadar motivasi dan harapan doa bersama buat Arwah Abah, Uichi Gaban akan lukiskan beberapa cerita dalam bentuk ayat mengenai Arwah Abah pada minggu ini.

"Abah terkenal dengan kenakalan dan suka merayau serta berkawan", kata Arwah nenek Uichi. Tidak hairan jika semasa hidup, sakit dan matinya Arwah, sentiasa ditanyakan khabar. 

"walaupun nakal tapi abahmu paling rajin dan tak suka meminta. Jenis yang amat patuh dan suka tolong orang." kata nenek di serambi rumah dari kerusi lama warna biru kuning dan merahnya yang menjadi port tetap nenek disebelah kanan tepi pintu sambil melihat cucu-cucunya bermain di laman depan.

Dalam hidup abah, Uichi Gaban tidak pernah melihat Arwah Abah cuba minta tolong dengan orang kecuali diberikan bayaran. 

"Mung ni, sama-sama kita tok sah dok bayar lah" kata drebar lori Peladang dalam membantu abah menguruskan urusan Arwah Abah selaku ketua pekebun/penanam padi di bendang Lacha/Pauh.

Masa puja umur (sambutan ulangtahun Sultan Kelantan), biasanya ada banyak lampu, bunga api dan kereta berhias. Arwah Abah kata "malam ni kita pakat gi tengok api naik motor, malam ni bawak ira ida. Esok bawak mung pulak." Begitulah kebanyakan tahun dalam diari membesar kami adik beradik.

Arwah Abah tidak suka menyusahkan orang. Biar penat dan letih, digagahi juga. Malah Arwah Abah agak pantang jika berhenti tidak meletakkan motor dengan baik. Apatah lagi buat satu perkara yang boleh membangkitkan marah orang lain atau perasaan tidak puas hati walaupun sekecil soal parking.

Kata Arwah "Jangan bagi orang kata benci kat kita" Mungkin Arwah berpegang pada kata-kata benci dan marah orang itu sebagai doa yang tidak baik kepada kita. Uichi Gaban harap baik isteri dan rakan-rakan yang pernah mengenali Uichi Gaban faham kenapa Uichi Gaban turut mengambil berat perkara yang sama. Mungkin perkara yang baik ini terlalu banyak ditegur Arwah sehingga terpahat dan diwarisi secara kekal. Terima kasih Abah.

Arwah Abah juga mengajar Uichi Gaban apabila setiap kali melihat peti derma dan mereka meminta derma agar tidak menghampakan mereka. Tidak pernah Arwah lewati mereka tanpa memberi sedikit pemberian. Sekiranya Uichi Gaban turut bersama, biasanya Arwah akan memberikan derma melalui Uichi Gaban. 

Kata Arwah Abah "ada duit esok-esok, jangan kedekut sangat"

Pernah sekali semasa menaiki tangga Pasar Siti Khadijah (masa itu Pasar Buloh Kubu), biasanya ditangga akan ada mereka yang meminta derma sambil menjual sticker dan tisu. Sesambil itu setiap mereka mengalunkan bacaan Al Quran. Arwah Abah menghulurkan kepingan wang kertas kepada Uichi Gaban untuk dihulurkan kepada beberapa orang peminta derma yang duduk bersila di tangga. 

Uichi Gaban pada masa tersebut masih seorang kanak-kanak sedikit terganggu dan takut kepada mereka akibat pakaian selekeh dan keadaan wajah yang agak berlainan kerana mereka buta. Uichi Gaban beranikan diri tetapi memberikan wang tersebut dengan agak sedikit melemparkan ke tangan mereka kerana takut untuk dekati. Bila berpaling dan menuju kepada Arwah Abah yang sudah berada 3-4 anak tanggan di atas, Arwah Abah memberikan satu kata nasihat yang mustahil dilupakan "Jangan hina orang kerana miskin".

Banyak lagi kisah bagaimana Arwah Abah tidak suka menyusahkan orang sebaliknya suka membantu orang lain sehingga Arwah ramai kawan. Semoga Allah SWT memberikan sikap yang sama kepada Uichi Gaban.

Uichi Gaban kongsikan perkara ini apabila adik bongsu tidak faham apabila Makngah (kakak Arwah) sebak bila bercerita tentang Arwah Abah semasa Arwah minta Makngah ikut Arwah ke Hospital kerana bawa adik bongsu yang masih bayi mengalami kuning. 

"Abahmu tu mana pernah nak minta tolong orang selagi dia boleh buat. Rela dia tak nak menyusahkan abang dia yang ada kereta, sanggup harap kakak dia pegang xxxx (adik bongsu) dengan motor jauh. Abahmu tu hayat hidup mana pernah nak menyusahkan orang" kata-kata Makngah timbulkan sebak di pagi raya pertama.

Doa -
"Ya Allah kami memohon rahmat dan sifat Penyayang dan PengampunMu agar ampunkan dosa-dosa Arwah Abah kami. Permudahkanlah perjalanan hidup Arwah seterusnya sebagaimana dipermudahkan Arwah hidup dan urusan manusia yang lain mahupun urusanMu"

1 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►