Wednesday, December 22, 2010

Peguam Pemerhati - Satu Kerja Untuk Peguam Yang Remeh?


Selain daripada melaksanakan kerja-kerja profesional sebagai pihak-pihak dalam tindakan baik sivil atau jenayah, ada satu lagi tugas peguam yang biasanya dilantik bagi satu kepentingan lain, iaitu sebagai peguam pemerhati.

Ada orang bertanya, maka Uichi Gaban nak cerita dalam bentuk mudah faham.

Peguam Pemerhati perlu dibezakan dengan pihak Pencelah yang mana pihak Pencelah adalah pihak yang terus dan berkepentingan serta ada locus standi untuk mencelah dalam kes atau guaman berkenaan secara terus. Malah untuk memohon meletakkan locus standi sebagai pencelah mesti melalui permohonan rasmi dan ada bantahan mahupun pendengaran bagi permohonan tersebut.

Manakala Peguam Pemerhati boleh dikatakan peguam yang bertindak bagi satu pihak bagi membolehkan status kes boleh dirujuk kepada anakguam mereka serta dengan nasihat-nasihat perundangan dan juga bantuan teknikal perundangan agar anakguam yang terlibat lebih memahami mengenai perjalanan kes atau guaman berkenaan.

Banyak berlaku di dalam kes jenayah yang mana peguam boleh dilantik bagi membuat pemerhatian kepada kes yang melibatkan anakguam mereka. Dalam banyak kes seperti kes jenayah, peguam akan mewakili mangsa atau pengadu dalam kes berkenaan bagi membolehkan status dan nasihat perundangan diberikan kepada mereka untuk mengukuhkan kes mereka kepada Orang Kena Tuduh kerana pendakwaan utama dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya.

Selain daripada mewakili mereka yang terlibat secara langsung, ada juga peguam mewakili pihak yang tidak berkenaan tetapi mempunyai sedikit kepentingan untuk mengambil tahu mengenai perjalanan kes berkenaan. Sebagai contoh mudah; sebuah syarikat biasa melantik seorang peguam pemerhati apabila kes melibatkan pengarah mereka dan pihak yang berkaitan dengan syarikat berkenaan. Perkara yang sama boleh berlaku kepada mana-mana jabatan kerajaan dan pertubuhan juga. 

Peguam Pemerhati tidak semestinya peguamcara dan peguambela. Mungkin mereka hadir bagi pihak kerajaan, sudah tentu daripada pejabat Peguam Negara.

Peguam Pemerhati kebanyakan kalau dilihat kerjanya di Mahkamah, hanya duduk dan menulis sahaja. Tetapi dalam praktikalnya, walaupun mereka tidak berapa 'berlocus standi' tetapi mereka boleh membuat apa jua cadangan dan bantuan kepada pihak Mahkamah mahupun pihak pendakwaan atau pihak-pihak berkepentingan kepadanya dalam menjalankan kes.

Peguam Pemerhati juga bertugas dalam memastikan perjalanan kes dengan baik dan membuat inquiry dan penampilan lebih baik dalam berkenaan agar pihak-pihak tidak tersasar. (perenggan ini susah nak terang, kena tanya direct lain kali.)

Kalau dilihat dalam tugas ini, bukan anda sahaja tetapi Uichi Gaban pun merasakan seperti tugasan ini layak kepada semua peguam dan semua peguam mampu melaksanakannya. Tetapi percayalah, tugasan ini diberikan atas dasar anakguam percaya dan mahukan kemahiran tersendiri peguam berkenaan dalam kes yang bakal diwakili. Tetapi cerita praktikalnya, tak perlu diceritakan.. bos-bos di luar sana kena ambil ikhtibar!

Bagi Uichi Gaban sendiri pun pernah dilantik dalam satu kes jenayah yang mana ingatkan selepas 'menang' kes jenayah yang sama, seorang lelaki yang mendekati akan melantik untuk menjalankan kerja pembelaan sebagaimana biasa tugasan profesional peguambela tetapi sangkaan meleset. Kata; "saya perlukan kemahiran awak untuk update kes ini tentang bagaimana nak kuatkan kes pendakwaan dan bagaimana seorang peguam jenayah (pihak pembelaan) berfikir"

Rupanya yang menegur adalah pengadu. Tugasan itu bukan mudah tetapi dianggap mudah. Praktikalnya, tidak perlu diceritakan.. sendiri mahu ingat!

klik di sini

2 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►