Thursday, September 30, 2010

Penyiasatan Kes Kehilangan Sosilawati: Boleh Suspek Di Reman Melebihi 14 Hari?


"Kalau penyiasatan tidak lengkap, boleh tahan reman sampai berapa lama?"

Perundangan Malaysia menetapkan melalui penahanan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah adalah menjadi tanggungjawab pihak polis untuk dibuat penahanan reman dalam masa 24 jam dan tempoh yang dibenarkan adalah keseluruhan selama 14 hari sahaja. Isu dan persoalan praktikal samada tepat 14 atau 15 hari keseluruhannya adalah tidak relevan nak diperbincangkan dalam topik ini.

Tempoh tahanan reman ini adalah di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah sahaja dan beberapa penahanan lain dalam bentuk dan peruntukan perundangan lain ada sedikit perbezaan. Tetapi asas penahanan jenayah adalah tertakluk kepada peruntukan seksyen tersebut.

Berbalik kepada persoalan di atas, jawapannya adalah jelas selama 14 hari sahaja. Tidak boleh melebihi peruntukan yang ada tetapi tempoh boleh disingkat dengan mengambil tindakan pendakwaan terus di Mahkamah atau dibebaskan dengan bon sementara didakwa di Mahkamah atau dilepaskan terus atas hasil siasatan pihak polis.

Secara praktikalnya, pihak polis ada membuat penahanan reman melebihi peruntukan tersebut tetapi tertumpu kepada kes am seperti suspek samun, rompak dan sebagainya yang mana melibatkan laporan polis atau suspek kepada kes sama di tempat berlainan. 

Sebagai contoh seorang individu ditahan sebagai suspek rompak di Klang dan dalam masa sama ada kes sama atau modus operandi yang sama di Ampang dan Cheras, maka selepas 14 hari, pihak polis boleh membawa ke balai yang lain bidangkuasa untuk membuat tangkapan dan reman yang baru bagi kes siasatan yang lain melibatkan laporan polis yang lain. Maka reman ke atas individu tersebut akan melebihi 14 hari tetapi tidak kepada satu kes sahaja. 

Dalam sudut perundangan, ia masih dihadkan kepada 14 hari sahaja bagi satu siasatan kes. 

Begitu juga dalam kes melibatkan Datuk Sosilawati dan 3 yang lain yang mana penahanan reman telah tamat dan tiada tambahan dibuat kecuali sebagaimana contoh yang dinyatakan di atas, dibolehkan penahanan reman dibuat sekiranya ada penahanan dan siasatan melibatkan kes jenayah lain.

Ini antara kelebihan pihak polis dalam sesuatu kes tangkapan maka beberapa kertas siasatan dibuka secara serentak samada kes melibatkan ditempat berlainan (bidangkuasa lain) atas modus operandi yang sama ataupun kes yang berlainan jenayahnya. 

4 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►