Wednesday, July 14, 2010

Bomoh Superb! Jaminan Sembuh Diberikan.

Inipun Bomoh Super juga, Tok Purple namanya. Bomoh Rawet. Ayah pada Tok Merah. 

Hari ini Uichi Gaban nak tegur sikit 2-3 kerat kelakuan manusia yang bongkak dan takabur dalam bidang Perubatan Islam baikpun bidang Perubatan Tradisonal yang semakin dikomersilkan oleh orang kebanyakan. Malah yang mengecewakan apabila yang dikomersilkan adalah oleh orang yang tidak berkelayakan dan malah tidak dinafikan ilmunya cuma sikap dan sifatnya bukanlah orang yang berilmu.

Berlagaklah pula dengan secubit ilmu yang dikorek sedikit sebanyak melalui kursus dan sebagainya. Uichi Gaban ni mengajar silat dari hujung Seri Kembangan sehingga Sungai Buloh perasan satu perkara yang mana satu poster dan banner banyak terdapat di seluruh Selangor. Banner mengenai satu pihak yang boleh mengubati penyakit berkaitan makhluk halus, batu karang dan beberapa penyakit lain. Siap ada jaminan kepada rawatan tersebut.

Itu gelombang banner mereka pertama. Gelombang kedua disambung oleh satu iklan lain oleh pihak yang sama mengenai tuntutan hutang daripada pihak yang susah untuk menjelaskan hutang terbabit. Dalam satu blog rakan, Tok Dollah kita menyebut bagaimana pihak tersebut katanya menggunakan satu jin khas untuk mengutip hutang dengan cara merayu, memujuk dan mengganggu penghutang bagi pihak pemiutang sehingga ia membayar hutang terbabit. Perkhidmatan hanya ditawarkan kepada hutang ribuan, puluhan ribu dan jutaan ringgit sahaja. Sikit-sikit, mohon laluan.

Blog Tok Dollah tidak perlu di linkkan. Kan pembaca tahu pula siapa mereka. Tak kena dengan depa, kena dengan Tok Dollah nanti. Buat dihantarnya santau ke, jenuh Uichi Gaban nak menepis. Dihantarnya time sebelum suboh, out la Uichi Gaban.

Lagipun Uichi Gaban bukan kaki gaduh atau nak gaduh. Baik gaduh kasar dan halus-halus ni. Cukuplah belasah orang silat setiap malam, itupun Uichi Gaban dah semput dah.

Tidak habis lagi cerita, ada gelombang ketiga yang mulanya Uichi Gaban sedari di Sungai Merab, Bangi. Ingatkan 'nampak sama' tapi memang sama sungguh. Agaknya satu kali gelombang keluar, adalah 70-100 banner dinaikkan. Siapa mereka, bukanlah urusan Uichi Gaban, cuma cerita dan teguran baru sahaja nak bermula.  

Bukan ini sahaja yang Uichi Gaban dengar mengenai bomoh-bomoh ini, malah ada yang lebih berlagak dengan macam-macam ragam mengatakan yang mereka lebih dan pihak yang lain semuanya ada kekurangan. Yang bagusnya, pihak yang berkurangan buat bodoh saja, walaupun pihak-pihak berlagak ini terus melalak dan mencanang kehebatan.

Dalam perubatan Islam mahupun tradisional Melayu, pesan guru saya, bergurulah pada guru yang mengatakan ilmunya rendah diri kerana  di situ tergambar nilai ilmunya dalam mendidik hati pengamal perubatan. Mungkin ilmu yang dikatakan cetek itu sememangnya cetek tetapi berkat ilmu bukan atas banyaknya ilmu tetapi amalannya dan berkat guru serta redha Allah SWT.

Teringat pula pada pesan dan cerita Arwah Tok Guru Pondok, Ustaz Kob yang mana satu ketika ada seorang pendekar dan seorang alim. Si Alim mampu  bersilat dan menepis kesemua serangan dengan hanya berpantun dan pantun itu jelas meninggikan Allah SWT dan nilai tauhid si Alim. Maka di sini bukan ilmu kekadang menjadi sandaran tetapi amalan dan izin Yang Esa. Budak pondok T.A.K yang ponteng kuliah rabu memang tak tahu cerita ni.

Cerita yang sama di ceritakan oleh seorang guru Uichi Gaban semasa mendalami perubatan Islam dengan Tuan Guru Haron Din di awal penubuhan Darussyifa'. Beliau menajamkan ilmunya dengan berpengalaman bersama seorang murid awal Tuan Guru Haron Din. Ternyata rasuk pesakit dan refleks amalan si pakcik tersebut amat jelas apabila ramai pesakit berkaitan makhluk halus dan sebagainya tidak tahan walaupun baru menjejak kaki ke laman rumah beliau. Guru Uichi Gaban ini bertanya "Apa amalan ustaz?"

Beliau menjawab; "amalan aku dan amalan kamu sama sahaja. Cuma saya sudah lama di bidang ini, InsyaAllah suatu hari akan sampai giliran kamu"

Banyak lagi cerita yang boleh dikongsi bersama, cuma apa yang lebih penting jangan menawarkan apa yang diluar kemampuan kita seperti penyembuhan kerana ia bukan dalam bidangkuasa kita semua. Hanya Dia Yang Esa mampu memberikan izin dan kata putus kepada penyembuhan. Jangan pula memandai memberikan jaminan seolah ilmu yang ada adalah berkat melebihi biasa dan bisa penyembuhan adalah tetap. Sekiranya ini berlaku, bukan sahaja taubat patut dibuat, periksa balik ilmu anda sekiranya ada percampuran anasir luar seperti mahkluk halus baikpun perjanjian tersirat dengan syaitan dan konco-konconya.

Sekiranya niat untuk berbuat baik, Allah SWT tetap menjaga rezeki kita, janganlah terlalu banyak mempromosi mengenai kehebatan atau mencanang gah ilmu anda melalui promosi yang jelas untuk komersil semata-mata.

9 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►