Friday, March 5, 2010

Gelandangan

Dahulu semasa kecil, saya selalu kata yang open itu tutup dan close itu buka walaupun tahu ia salah dan sebaliknya. Bukan tidak boleh menerima hakikat tetapi kekadang saya merasakan ia tidak sesuai pada bunyi dan saya berfikir betapa bodohnya mat toleh.

Maka mengelakkan bodoh tersebut, saya pula buat sesedap rasa mencipta beberapa perkataan sendiri yang rasa senang dan sedap disebut untuk satu perkara. Banyak perkataan baru tetapi biar saya simpan agar kebodohan zaman silam saya tidak berapa terserlah dan membayangi kepintaran saya yang sedia ada ini.

Gelandangan satu perkataan saya guna masa saya bujang dulu-dulu. Penggunaannya adalah benar dan tepat pada hemah saya.

Minggu lepas saya melihat di TV3 bagaimana anak-anak Malaysia bergelandangan tidur merata-rata di bandaraya Kuala Lumpur. Satu permandangan yang amat luar dugaan. Apa lagi melihat kehidupan mereka yang mengais sesuap rezeki lebihan daripada buangan.

Amat sedih bila kebanyakannya Melayu dan masih muda. Entah di mana silapnya. Mereka atau saya yang silap dalam menjadikan mereka masyarakat gelandangan.

Saya bukan hendak ceritakan mengenai episod TV3 itu tetapi bagaimana seorang tua pernah berkata pada saya "orang muda pengecut dan takut untuk keluar"

Saya tanya "maksudnya apa?"

"Kalau berani, cari pengalaman dengan merempat di tempat orang. Berjalan ikut hati dan balik dengan pengalaman. Jangan nantikan cerita kami" Katanya. Sikitpun saya tidak faham.

Apapun maksudnya, ada saya peduli?

Semasa di rantau orang saya terfikir balik kata orang tua itu. Saya cuba fahamkan tetapi tidak pasti apa yang tersirat dalam cabaran orang tua itu. Tetapi saya masih ingat saya cuba hilangkan diri 1-2 hari ke satu tempat yang kekadang saya sendiri tidak pasti dan tidak rancangkan. Inilah gelandangan bagi saya.

Daripada perjalanan itu, saya belajar 2 perkara. Pertama; kita amat dekat dengan Tuhan. Mana tidaknya, segalanya berharap pada yang Esa terutama waktu tidur. Sembahyang berjemaah dan zikir sememangnya pakaian. Banyak masa di rumah Allah.

Kedua; Saya banyak mempelajari suatu yang tidak tahu tetapi tetap masih tidak tahu.

Semenjak 2003, saya henti keluar gelandangan. Selain daripada TV3 mengingatkan saya, kunjungan seorang rakan lama 2 minggu lepas buat saya teringat balik dalam mengemis pengalaman demi menayhut cabaran orang tua tersebut. Kawan saya ada bercerita mengenai tempat-tempat, banyak tempat yang saya masih boleh bayangkan mengenai susun aturnya. Saya sendiri sudah lupa bila saya ke sana.

Saya teringat balik pada orang tua itu. Dia sudah meninggal lama. Senyumnya, ilmunya serta manis pesan dalam penggerun mengungkit balik kenangan lama. Saya bercadang nak ceritakan mengenainya. Mungkin bukan semua. Cukup sekadar untuk mengingatkan saya..

1 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►