Gara-Gara MC Palsu, Jaminan Dinaikkan

By Admin on 12/31/2009 11:28:00 PM

komen (1)

Filed Under:

Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret telah menerima alasan bahawa pihak tertuduh sakit dan telah dikemukakan satu sijil sakit daripada Hospital Kuala Lumpur kepada pihak Mahkamah yang mulia. Bagaimanapun, sijil sakit tersebut telah diperiksa oleh pihak Mahkamah atas dasar keraguan keesahannya dan mendapati ia adalah palsu.

Sehubungan dengan itu, pihak Mahkamah menolak alasan sakit dan menaikkan wang jaminan sebanyak RM2,000.00 daripada nilai jaminan yang sedia ada.

Pihak Mahkamah juga mengarahkan pihak Pendakwaan agar satu laporan polis dibuat berdasarkan sijil sakit yang digunakan tersebut.


Share/Save/Bookmark
Data Cap Jari Malaysia

By Admin on 12/31/2009 12:20:00 PM

komen (2)

Filed Under:

Ada orang bertanyakan kepada saya mengenai rekod jenayah di Malaysia. Beberapa soalan lain turut ditanya tetapi dilihat gaya nampak sangat pengaruh cerita CSI di kaca TV. Rekod jenayah lampau sememangnya direkodkan dan disimpan bagi rujukan pihak kerajaan. Selain itu, kita masih tidak ada rekod DNA sebagaimana CSI yang anda lihat tersebut. Tetapi sistem CODIS yang digunapakai oleh mereka bukanlah nampak bebas seperti ditayangkan. Masih ada beberapa isu yang perlu difahami.


Dalam persoalan yang diterima, ada yang bertanya mengenai rekod jenayah. Sebelum saya nak bercerita mengenai rekod jenayah lampau yang boleh disimpan dan dirujuk oleh pihak kerajaan Malaysia, saya ingin bercerita bagaimana rujukan cap jari dibuat di Malaysia.

Sebenarnya setiap tangkapan yang dibuat oleh pihak polis akan diambil cap jari dan disimpan di satu tempat bagi rujukan seterusnya. Tempat simpanan dan rekod ini dikenali sebagai Malaysian Automated Finger Print System (MAFIS) atau dalam bahasa melayu nya dikenali sebagai Sistem Identiti Cap Jari Automatik.

Selepas cap jari diperolehi oleh pihak polis yang mana sekarang ini tugas banyak dijalankan oleh Unit Tempat Kejadian, cap-cap jari tersebut akan dihantar ke makmal forensik di Cheras bagi padanan melalui sistem MAFIS tersebut.

Untuk menyatakan bahawa sistem MAFIS ini menyimpan rekod-rekod cap jari penjenayah, adalah tidak tepat kerana kebanyakannya dibuat atas tangkapan kes jenayah dan bukan sabitan kes jenayah. Maka bukan semua rekod cap jari di dalam MAFIS adalah penjenayah sekiranya ada padanan.

Di sini masih ada isu hak asasi ditegakkan dan tidak sewenangnya penggunaan boleh dibuat. Kalau diikutkan dengan CSI yang anda lihat di kaca TV, semua data DNA dan cap jari mereka tembusi. Kita masih menghormati hak dan kebebasan asasi walaupun d Malaysia kita banyak ada rekod cap jari seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara dan sebagainya. Tetapi bagi tujuan siasatan jenayah dan bolehpakai sebagai keterangan adalah di dalam rekod pihak polis sendiri iaitu MAFIS.

Semalam saya lihat bagaimana seorang anggota CSI Miami mencetak data cap jari individu daripada satu data rekod yang disimpan dan melakukan pemotongan khas dan ringkas. Langkah seterusnya, cap jari tersebut digetahkan dan menghasilkan bekas cap jari yang membolehkan ia dilekatkan di mana sahaja dikehendaki.

Kalau dirujuk dengan cara yang amat mudah oleh anggota CSI tersebut, anda boleh diletakkan di tempat kejadian walaupun terdapat alibi jelas yang anda berada jauh daripadanya. Itu cap jari, tahu bagaimana DNA boleh dimanipulasi.

Akhirnya bukan sistem dan teknologi yang membuatkan sesuatu pembaharuan itu efektif tetapi sikap profesional dan kebolehpercayaan secara individu.



Share/Save/Bookmark
Dua Pekerja Am Pasar Borong Dibebaskan

By Admin on 12/30/2009 06:38:00 PM

komen (1)

Filed Under:

Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret semalam membebaskan tanpa melepaskan 3 pekerja am di Pasar Borong Selayang apabila peguambela kepada tertuduh kedua dan ketiga masing-masing warga Bangladesh telah memohon kepada Mahkamah yang Mulia agar kes tersebut dapat dilepaskan tanpa dibebaskan atas beberapa alasan yang mana kes melibatkan tertuduh-tertuduh warga asing dan demikian juga pengadunya.

Hujahan pihak peguambela Encik Hisham Nazir bagi pihak Biro Bantuan Guaman Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur juga menyatakan bahawa kes adalah pada tahun 2007 yang mana pihak Pengadu tidak lagi berminat untuk meneruskan kes tersebut dan ini dibuktikan melalui kegagalan kehadiran pihak Pengadu setiap kali kes ditetapkan untuk bicara. Malah kegagalan pihak pendakwaan dan polis mengesan lokasi Pengadu memungkinkan bahawa pihak Pengadu telah pulang ke negara asal beliau di Bangladesh.

Terdahulu pihak pendakwaan, Chif Inspektor Rukumar memberitahu Mahkamah bahawa kes ditetapkan untuk bicara dan memohon tarikh lain memandangkan pihak Pengadu gagal dikesan lokasi terkini. Menurut pihak Pegawai Penyiasat, Pengadu telah berpindah dan tidak dimaklumkan mengenai lokasi terbaru.

Setelah mendengar hujah dan permohonan pihak peguambela, Mahkamah membebaskan tanpa melepaskan kesemua ketiga-tiga tertuduh warga Bangladesh tersebut.


Share/Save/Bookmark
Wasiat Allahyarham Sheikh Mutawalli Mengenai Kepimpinan

By Admin on 12/30/2009 01:38:00 PM

komen (0)

Filed Under:



Ini saya attachkan satu video yang ada dipamerkan bagaimana Allahyarham Sheikh Mutawalli yang terkenal dengan kelantangannya bercakap mengenai kebenaran dan Islam menegur kepimpinan Mesir di hadapan Presidennya. Bagaimana kelantangan dan demi kebenaran, beliau tidak takut dan segan untuk berhujah mengenainya di hadapan pembesar agama lain dan pemimpin nombor satu negaranya yang dikatakan lebih menentang pergerakan Islam.

Antara lain maksud dan terjemahan kepada petikan wasiatnya itu;

Dan sesungguhnya aku (Sheikh Mutawalli Sya’rawi).. Wahai Tuan Presiden, aku berdiri di sudut ini untuk menerima pahala dari Allah. Aku tidak menghabiskan sisa-sisa hidup aku menjadi munafiq.

Aku tidak akan mempamerkan diri aku ini dengan perkara-perkara yang menipu. Tetapi aku ingin memberitahu satu perkara kepada umat semuanya. Sama ada daripada pihak kerajaan atau parti pembangkang ataupun penyokong dan bangsa.

Aku meminta maaf jika aku ucapkan sesuatu yang kamu semua tidak suka. Aku ingin semuanya tahu bahawa kekuasaan itu di tangan Allah. Allah memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Dia suka. Maka janganlah ada komplot untuk mendapatkan kekuasaan itu.

Dan janganlah ada tipu helah (penipuan) untuk sampai kepadanya (kekuasaan). Allah Taala telah menceritakan dialog antara Namrud dan Nabi Ibrahim. Apa yang Allah Taala kata?

“..Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya (sedangkan dia dalam kekafiran), kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan (Namrud)…” (Surah al-Baqarah:258)

Maka kekuasaan itu Allah diberi kepada sesiapa yang dia mahu. Maka jangan kamu melakukan tipu helah terhadap Allah. Dan jangan kamu membuat komplot (penipuan) terhadap Allah. Kerana seseorang tidak akan mendapat kekuasaan di dalam kerajaan Allah kecuali dengan kehendak Allah. Kalau dia seorang yang adil, maka manusia akan mendapat manfaat dengan keadilannya. Dan sekiranya dia seorang yang zalim, maka dia menjadi hodoh dengan kezalimannya dan Allah akan menjadikannya buruk di dada-dada manusia.

Maka disebabkan Allah menjadikan dia buruk di dada manusia, rakyat akan membenci setiap orang yang zalim walaupun dia tidak terlintas membenci pemerintah itu.

Aku berkata kepada kamu sekalian, Alhamdulillah, telah jelas kebenaran pada kata-kata Tuhan berdasarkan dengan peristiwa-peristiwa yang telah terjadi.

Bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah : “Wayamkuruuna wayamkurullah..” (dan mereka merancang perkara yang jahat dan Allah juga turut merancang). Dan bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah : “Innahum yakiidunakaidan wanakiiuunakaida..” (Sesungguhnya mereka membuat tipu daya dan Allah membuat tipu daya juga).

Siapa yang terlintas di dalam kepalanya untuk menjadi pemerintah, aku nasihatkan supaya dia jangan meminta-minta. Akan tetapi menjadi kewajipannya menjadi pemerintah ketika mana dia dilantik. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam:

“..Siapa yang dilantik untuk sesuatu perkara, maka dia akan ditolong oleh Allah. Dan sesiapa yang meminta-minta sesuatu perkara, maka perkara itu akan menjadi beban kepadanya..”.

Wahai Tuan Presiden, aku ingin katakan satu perkara kepada engkau, mungkin ini adalah pertemuan terakhir kita! (Sheikh Mutawalli Sya’rawi memegang bahu presiden Mesir dan berkata) “Jika nasib kami bergantung kepada engkau, moga-moga Allah memberi taufiq (menunjukkan kepada kamu jalan yang benar). Dan jika nasib kamu bergantung kepada kami, moga-moga Allah menolong kamu untuk menanggung beban (untuk menghadapi kami)..”.


Share/Save/Bookmark
Kita Merancang dan Allah Juga Merancang, Dan Allah Jua Sebaik- baik Pada Rancangan.

By Admin on 12/29/2009 10:16:00 AM

komen (3)

Filed Under: , ,

Selepas tamat pembicaraan kes bunuh di Ipoh, sememangnya di dalam perancangan saya akan berada di utara bagi beberapa perkara. Pulau Pinang, Kedah dan Perlis ada dalam perancangan tetapi Kelantan turut di dalam perancangan awalnya.

Akibat kepenatan mungkin, malas yang amat buat saya singgah di Juru untuk makan malam yang agak awal dan membasahkan badan serta apa yang patut. Dah tidak larat mahu balik ke Kuala Lumpur. Hasratnya berubah untuk terus ke Kelantan malam tu juga. Kalaulah saya pusing ikut Gerik tadi, saya dah jimat 2 1/2 jam dan melebihi 250km. Tapi sudah terlambat. Dah rezeki pakcik kedai tu untuk makan malam saya.

Dalam hati, ada juga membebel kenapa tersasar sebegini. Dengan penat dan jarak yang amat jauh ke Kelantan, saya gagahkan untuk lencong di laluan Gerik (Timur) melalui Lunas. Saya singgah sekejap di Petronas di situ. Mungkin ada rezeki berjumpa kawan lama sesambil hilangkan penat sementara meneruskan perjalanan yang telah jauh tersasar.

Di dalam perjalanan saya singgah sebentar di Kulim bagi satu tujuan yang saya sendiri tidak pasti kenapa saya patut singgah. Ini sememangnya tiada di dalam perancangan awal. hanya terdetik di dalam perjalanan ke utara malam tersebut.

Saya rehat dalam 30minit di tepi jalan sebelum masuk ke sebuah kedai makan kecil untuk bertanyakan lokasi sebuah rumah. Saya katakan yang saya cuma ada satu nama tanpa alamat kecuali perkataan Kulim. Saya dapat mengagak, abang tu mungkin fikir "dia ni pakai je kereta besar, otak kicik". Niat awal hanya ingin tanyakan sesuatu, bukan berhajat untuk ke rumah si penama.

Dari satu payung di meja bahagian tengah kanan, ada orang melambai saya. Astagfirullah al azim.. dengan nada keluh terkejut. Macamana tahu saya di sini? tanyanya kehairanan. Semua ini kebetulan kot, jawab saya yang masih teragak-agak dengan wajahnya. Saya cuma melihat sekali wajah pemuda tersebut di Masjid Pengkalan Chepa apabila beliau cuba datang ke Kota Bharu untuk berjumpa dengan saya semasa cuti hari raya korban tempohari. Itupun Baihaqi tersipu-sipu di sebalik tubuh saya. Dipanjat sekali sekala.

Beliau mengajak saya ke rumah orang tuanya yang tidak jauh daripada situ. Cara tuturnya memang rumah tersebut tidak jauh. Tetapi cara tunjukkan jarinya, saya tidak lihat mana-mana rumah yang dimaksudkan. Saya menolak dengan alasan perjalanan saya masih jauh dan janji saya hanya datang ke Kulim untuk bertanyakan khabar. Beliau mengangguk tanda setuju. Saya beredar setelah berborak selama 10 minit lebih kurang.

Semasa beredar, saya pasti jam sudah mencecah jarum 10.30 malam. Perjalanan ke Kelantan masih jauh dihiburkan dengan bas ekspress yang amat laju di lereng-lereng bukit Gerik. Berseringau juga selisih dengan bas-bas ekspress. Maklumlah jalan di sana lebih mengerikan dengan kelajuan yang dipamerkan berbanding dengan laluan Kota Bharu - Kuala Lipis - Kuala Lumpur.

Dalam hati, saya sudah lewat. Sangat lewat. Lambat lagi subuh tetapi saya perlukan rehat juga kerana sudah jauh perjalanan ditempuh dengan rehat yang tidak mencukupi dalam melaksanakan tugas di Ipoh. Semasa melintasi simpang ke Gerik Pengkalan Hulu, rasanya jam dah menunjukkan jam hampir 12.00 malam.

Buat kami pertama malam tersebut, saya melihat gajah 4 beranak melintasi jalan di Tasik Banding. Penuh lumpur di badannya buat gambaran mereka agak kabur pada fizikal mereka. Kalaulah kenderaan di depan tidak perasan, lenyeklah kereta tersebut. Malam-malam pun berderak juga.

Saya pecut manjang malam tersebut menghambat rasa mengantuk. Sesampai di Jeli, saya singgah di sebuah kedai. Dalam mamai, saya nampak jam baru nak masuk pukul 1.00 pagi. Takan laju sangat pemanduan tokoh pemandu berhemah kali ini. Di sini mulainya ramai yang menyinggah pada masa tersebut. Saya pandu kereta ke depan sedikit dan belok ke Caltex serta lena sekejap. Sekejap itu dari jam 1.30 pagi sehingga sedar jam 4.30 pagi.

Hajat hati nak subuh di belakang Tok Guru hari ini. Belakang baris akhir pun tidak apa. Tidak tahu kenapa, rasanya kebanyakan masa malam ini macam serba tidak kena. Saya masuk ke Kota Bharu melalui jalan Salor pada jam 5.20 pagi. Tidak lama lagi subuh nak berbunyi. Kereta menyusuri di tepi Kubang Kachang ke Telipot ikut jalan belakang. Tempat saya nyaris langgar orang pagi itu.

Sesampai di satu simpang, tetiba gatal pula batalkan niat untuk berjemaah di belakang Tuan Guru Menteri Besar. Sebaliknya saya memandu ke satu tempat yang saya tidak tahu kenapa perlu ke sana. Sebaik mendengar azan yang makin tamat dilaungkan, saya membelok masuk ke sebuah surau.

Alhamdullilah, surau tersebut juga buat Sujud Sajjadah pagi tersebut. Kebiasaaan bagi masyarakat Kelantan. Namun yang menarik pada pagi tersebut, sebaik tamat sembahyang subuh Imamnya yang hanya berbaju melayu dan kopiah biasa itu menghulurkan salam kepada semua jemaahnya dan bila sampai giliran saya, tangannya agak erat disalamnya berbanding yang lain. Masa itu saya fikir mungkin disebabkan pakaian saya yang agak simple dengan seluar silat. Sebagai peringatan kot.

Tidak pula saya sangka, dia menegur "apa khabar la ni. mari mano dengan gini paggi buto".. saya kata cuma menjawab ringkas yang saya daripada KL. Baru sampai. Jawapan yang lebih mudah daripada dijawab daripada Ipoh kemudian ke Pulau Pinang ke Kulim masuk Gerik dan tidur lama di Jeli. Imam berlalu dengan senyuman. Tetapi siapa dia?

Allah juga yang berkuasa tiap atas sesuatu. Seingat saya, dia adalah pakcik yang selalu berselisih dengan saya di tahun 90an dulu. Sering memberikan senyumannya.

Saya masih merasakan seperti kehilangan masa daripada malam tadi.



Share/Save/Bookmark
Mekanik Dibebaskan Daripada Pendakwaan Memiliki Dadah

By Admin on 12/27/2009 10:06:00 AM

komen (0)

Filed Under:

Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari membebaskan seorang mekanik yang ditahan dan didakwa pada tahun lepas atas memiliki dadah di bawah seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya.

Mekanik yang bertugas di Segambut tersebut hadir berseorangan apabila memaklumkan peguambela Hisham Nazir bagi pihak Biro Bantuan Guaman Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur terpaksa menghadiri kes bicara bagi satu kes jenayah bunuh di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak.

Beliau juga dimaklumkan oleh peguambelanya bahawa satu surat penangguhan telah dihantar tetapi tiada di dalam rekod Mahkamah yang Mulia. Antara alasan yang dipohon penangguhan ialah peguambela terpaksa hadir bagi kes bicara di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Tinggi Ipoh;

Pihak pembelaan juga masih tidak menerima apa jua dokumen di bawah seksyen 51A Kanun Acara Jenayah sehingga tarikh pembicaraan tersebut dan juga satu representasi telah dibuat kepada pihak Peguam Negara atas alasan dadah tersebut ditemui bersama rakan jenayah OKT dan rakan jenayah OKT tersebut telah mengakui pemilikan tersebut dan dijatuhi hukuman atas sebab pengakuan tersebut.

Setelah meneliti kes tersebut dan saksi juga tidak hadir bagi kes bicara tersebut, Mahkamah memutuskan untuk membebaskan tanpa melepaskan OKT.


Share/Save/Bookmark
Kes Bunuh DiTetapkan Untuk Sambung Bicara Pada Januari 2010

By Admin on 12/26/2009 09:59:00 AM

komen (0)

Filed Under:

Setelah 4 hari minggu ini bagi kes sambung bicara di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan, sekali gus menggenapkan 12 hari dalam Mahkamah bagi kes yang sama.

Setakat ini saksi pendakwaan telah sampai kepada 15 orang saksi dan kini ditangguhkan semasa Pegawai Penyiasat memberikan keterangan. Masih terdapat 2-3 saksi lagi sebelum pihak Pendakwaan menutup kes pendakwaannya.

Setelah 15 saksi pendakwaan memberikan keterangan termasuk Ketua daripada Jabatan Kimia Ipoh dan beberapa saksi penting yang lain, pihak Mahkamah yang Mulia menegur pihak pendakwaan dan pihak pembelaan yang bersetuju dengan teguran pihak Mahkamah yang Mulia mengakuijanji untuk menimbangkan cadangan pihak Mahkamah yang Mulia dalam masa terdekat.

Kes akan disambung bicara pada Januari 2010 selama 3 hari lagi.


Share/Save/Bookmark
Adakah Pengorbanan Perlu Memberikan Keuntungan Peribadi?

By Admin on 12/24/2009 03:44:00 PM

komen (0)

Filed Under: ,


Khutbah IdilAdha kali ini antara lain yang menarik ialah tidak banyak menyebut mengenai pengorbanan dan rasional mengenai apa berlaku pada Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail tetapi lebih kepada konsep perpaduan bagi menjawab kepada konsep 1 Malaysia serta kekuatan orang Islam sendiri dalam menjalani konsep perpaduan dalam Islam.

Saya tidak pandai untuk mengulas mengenainya tetapi tertarik saya untuk berkongsi antara hadis yang diketengahkan pada pagi tersebut ialah antara lain maksudnya;
Akan datang satu masa yang mana orang kafir akan mengelelingi kamu seperti kamu adalah makanan mereka. Sahabat bertanya; Adakah bilangan umat Islam akan sedikit?. Jawab Baginda SAW; Tidak, bahkan lebih ramai. Allah SWT telah mencabut kehebatan dan kegeruni (dari semua aspek) umat Islam kerana masa tersebut kamu semua lebih takutkan mati dan kecintaan kepada dunia yang had.
Sebenarnya saya tidak mahu mengulas panjang sekadar ingin menyentuh beberapa perkara sahaja. Bersahaja saya nyatakan hadis di atas apabila teringat apabila 2-3 sebelum balik cuti Idiladha, seorang rakan ada private message saya;

"tak sangka awak masih aktif silat dan bergerak dalam kelab pulak. Kenapa tak tumpu kepada kerja dan profesional awak yang nampak makin kencang?"
Sebelum itu, ingin saya aminkan agar apa yang saya lakukan dalam kerjaya saya semakin kencang. Kalau perlu ribut taufan dengan ganjaran, saya terima. Jangan ribut dengan masalah sudah.

Jawapan saya kepada rakan saya itu adalah seringkas yang mampu. Saya mohonnya berfikir;

Saya mempunyai pilihan untuk keluar pagi balik petang dalam mencari kepuasan dan ganjaran disebalik kerjaya profesional saya. Saya mempunyai pilihan seperti beberapa rakan lain yang menyertai politik di pelbagai peringkat yang mana kemudiannya setidak-tidak mempunyai peluang kepada ganjaran kewangan dari sudut peluang. Saya mempunyai pilihan untuk lebih bersama keluarga. Saya pilih silat kerana ia tidak memberikan saya peluang melalui politik mahupun melalui organisasi ini. Pendek kata tiada apa yang mampu saya gain daripadanya. Mungkin saya banyak dosa, biarlah lepas mati kelak nama saya masih ada jasanya untuk meneruskan track record yang baik.

Pengorbanan banyak berlaku dalam hidup kita. Teringin juga untuk menuruti jejak rakan. Politik samada kanan dan kiri. Tetapi komitmen di dalam silat membuatkan jadual saya terlalu ketat walaupun amanahnya hanya bersandarkan harus sahaja.

Ini membuatkan kita terpaksa mewujudkan keutamaan dan akan ada kos lepas di dalam membuat pilihan keutamaan tersebut. Saya renung di antara keutamaan dalam antara kepuasan yang memberikan nama baik dan sumbangan kepada kerjaya profesional saya dan silat yang turut memberikan kepuasan dengan kolateral lebam dan seliuh yang sering terjadi. Saya pilih Silat.

Merujuk kepada PM rakan tadi, memang ada orang kata saya bodoh kerana pilihan tersebut agak tidak tepat dibandingkan dengan 2 pilihan yang ada mahupun pilihan yang banyak lagi untuk sibukkan diri. Jika itu maksud tersirat anda, saya tegaskan bahawa anda bukan orang pertama. Harapnya bukan yang terakhir, kerana saya masih perlukannya untuk mengingatkan balik jawapan kepada persoalan kenapa Silat.

Saya amat berharap dengan silat, saya mampu turun ke bawah dalam mendidik disiplin anak Melayu. Saya tidak kawan dengan orang-orang besar. Malah saya pernah dikutuk dan dipandang jijik oleh orang besar PAS di Puchong kerana silat. Katanya; silat tidak ke mana.

Mungkin beliau lupa dan tidak faham yang saya mengajar disiplin dan bukan seperti anggapan biasa orang awam, silat dan taekwondo hanya untuk bergaduh. Bila kad nama saya dihulur, 2-3 orang terkejut. Jijikkah saya yang mempunyai ijazah dan master dalam bidang perundangan dan lesen amalan guaman profesional untuk turun berlumpur bersama anak-anak untuk menerapkan disiplin.

Saya pernah melihat seorang seperti saya berbangsa cina berpakaian ringkas dengan seluar pendek dengan bertenggek di belakang lori. Singgah sana sini untuk mengutip akhbar bagi satu badan kebajikan. Saya ingin menangis rasanya (faktanya tidak) bila saya lihat beliau, kerana saya tahu beliau bukan naik kancil mahupun proton.

Siapa kita nak sombong untuk turun ke bawah?


Share/Save/Bookmark
Waran Tangkap & Notis Kepada Penjamin Dikeluarkan Atas Kegagalan Kehadiran Ke Mahkamah

By Admin on 12/20/2009 10:05:00 PM

komen (1)

Filed Under:

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap dan notis kepada penjamin atas kegagalan seorang pengawal keselamatan yang gagal hadir bagi perbicaraan kes di bawah pertuduhan seksyen 379A Kanun Keseksaan pada hari ini.

Pengawal Keselamatan tersebut yang hanya tiba sekitar jam 10.00 pagi hanya diarahkan hadir semula pada tarikh sebutan waran tangkap yang telah ditetapkan selama 2 minggu daripada tarikh tersebut.

Kini hampir kesemua mahkamah di Kuala Lumpur mula bersidang pada jam 9.00 pagi tepat atas alasan mengejar keperluan semasa dalam melupuskan kes tanpa melengahkan perjalanan kes. Dalam masa yang sama, ia mencermin budaya kerja baru dalam institusi keadilan yang mana ada pro dan kontranya.


Share/Save/Bookmark
Pendakwaan Di Bawah Pertuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan Diteruskan Ke Atas Tukang Jahit Dan Pekerja Am

By Admin on 12/20/2009 05:51:00 PM

komen (0)

Filed Under:

Pada 11 Disember 2009 yang lepas Sebutan representasi kes bagi satu pertuduhan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dibuat ke atas seorang tukang jahit dan pekerja am yang dituduh secara bersama di bawah seksyen tersebut.

Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mandatori iaitu gantung sehingga mati akibat menyebabkan kematian seorang anggota polis pada 31 Mei 2007. Kes tersebut kini dalam perbicaraan penuh di hadapan Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi (5), Ipoh.

Pihak Pendakwaan pada hari ini memaklumkan kepada Mahkamah yang Mulia bahawa repsentasi pihak pembelaan ditolak dan tidak ditawarkan satu pertuduhan alternatif sebaliknya pihak Peguam Negara ingin meneruskan pendakwaan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua OKT kini direman di Penjara Tapah.


Share/Save/Bookmark
Guru Dibebaskan Daripada Tuduhan Rogol

By Admin on 12/17/2009 09:55:00 AM

komen (0)

Filed Under:

Mahkamah Sesyen Klang hari ini membebaskan tanpa melepaskan seorang guru di sebuah sekolah di negeri Selangor atas kesalahan rogol yang didakwa di sekitar tahun 2007.

Guru yang direman semenjak tahun 2007 sehingga kini atas alasan tidak ditawarkan apa jua jaminan malah dibantah sebarang jaminan ke atasnya, kelihatan tersenyum daripada kandang tertuduh.

Hari ini ditetapkan tarikh bicara singkat rentetan minggu lepas yang ditetapkan untuk pembicaraan tetapi saksi utama dan juga pengadu gagal hadir walaupun beberapa tarikh pembicaraan telah ditetapkan. Atas alasan tersebut, pihak pembelaan telah memohon agar beliau dilepaskan daripada tuduhan atas sebab keadilan dan telah direman semenjak melebihi 2 tahun tanpa tawaran jaminan mahupun kebenaran jaminan oleh pihak Mahkamah Sesyen Klang.

Atas sebab yang sama, saksi utama iaitu pengadu gagal hadir, maka beliau dibebaskan tanpa dilepaskan. Turut hadir ialah adik dan adik ipar beliau bersama isteri dan anak beliau.



Share/Save/Bookmark
Peniaga Muda Dipanggil Untuk Membela Diri

By Admin on 12/16/2009 09:12:00 PM

komen (0)

Filed Under:

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari semalam memutuskan kes di akhir pendakwaan dengan memutuskan seorang peniaga di Gombak dipanggil untuk membela diri atas satu kesalahan rogol di bawah umur pada sekitar tahun 2007.

Ekoran keputusan diakhir pendakwaan tersebut, pihak pembelaan yang diwakili oleh .......(saya).... meneruskan peringkat pembelaan dengan keterangan bersumpah daripada Orang Kena Tuduh.

Pemeriksaan utama oleh pihak Pembelaan bagi saksi pertama pembelaan tersebut disiapkan semalam sejurus keputusan Mahkamah yang Mulia. Manakala soal balas pihak pendakwaan diselesaikan pada hari ini dengan pemeriksaan semula pembelaan.


Share/Save/Bookmark
Apa Amalan Baik Untuk Beginner?

By Admin on 12/10/2009 06:11:00 PM

komen (0)

Filed Under: ,

Cikgu, apa amalan yang saya boleh dapat dan buat sebagai persediaan? - IM

Itu antara persoalan pertama bermain di kepala anak-anak muda yang baru mula menanam minat dalam silat mahupun perubatan Islam mahupun tradisional. Saya tak salahkan mereka, saya pun sedemikian ketika zaman dulu-dulu.

Saya ingin bercerita soal AMALAN. Rasanya pernah diceritakan sebelum ini dan boleh di baca di sini.

Sekali lagi sebagai orang Islam, saya diajar dan disemat bahawa amalan itu adalah wajib. Tetapi apa itu amalan. Ada atau tidak perkataan Beginner, intermediate mahupun Pro?

Persoalan amalan ialah adalah jelas melalui sabda-sabda Rasullulah SAW yang telah mengakui bahawa amalan yang konsisten adalah amalan terbaik. Mungkin permulaan yang baik bagi amalan "Bismillah" dalam semua apa yang ingin dimulakan sesuatu perkara. Nak upgrade mungkin boleh tambah apa yang patut..

Bagi saya amalan asas adalah doa harian. Berapa kerat kita menghafal dan mengamalkannya secara konsisten. Ada seorang ustaz yang saya fikir agak janggal apabila beliau sendiri mengakui bahawa untuk konsisten adalah amat susah. Kekadang kita alpa dan leka dalam melaksanakan doa-doa tersebut.

Percaya atau tidak doa pertama saya ialah doa melihat kubur. Bagaimana Islam mengajar adab berdoa kepada yang telah mati. Namun, lebih menarik apa yang saya ingin kongsikan ialah ada doa dan amalan bermula kerana sesuatu peristiwa.

Seperti doa melihat kubur yang menjadi amalan saya yang tidak pernah tinggal adalah bermula apabila saya terpaksa melalui 2 kawasan kubur besar termasuk 1 jirat yang agak 'keras'. Ini berlaku pada tahun 1989 yang mana saya terpaksa merempuhi malam gelap gelita seorang diri. Doa itu diajarkan oleh datuk saya.

Sehingga kini, saya pantang lihat pagar yang ada iras macam pagar kubur, salam dan doa keluar dahulu sebelum lihat kubur. Rupa-rupanya pagar rumah orang.

Begitu juga ada beberapa doa yang saya amat-amat jarang tinggalkan kerana atas beberapa perkara dan sejarahnya.

Berbalik kepada persoalan di atas, amalan apa pun dilakukan haruslah ia dilakukan secara ikhlas dan berasas. Jangan melakukan amalan kerana suatu perkara yang di luar bidang kawalan kita. Ini yang ada orang mula jadi pelik. Jangan juga melakukan amalan yang tidak berasas. Malah disyorkan amalan yang diperolehi melalui hadis dan amalan ulama melalui bacaan ayat-ayat tertentu dalam Al-Quran.

Banyak amalan ringkas dan seolah wajib kita lakukan sebagai amalan harian, tetapi kita lupa mengenainya. Sebaliknya kita mengejar sesuatu yang amat besar dan kemudiannya kita sedar tiada konsisten pada kita. Antara amalan ringkas dan kebiasaannya menjadi amalan orang Islam ;

Bacaan "La Ilahaillah Wahdahu la syarikallah........" ila akhir sebanyak 100 kali sehari - Bagi saya, susah nak konsisten. Entah kenapa.

Istighfar sebanyak 100 kali sehari - Bagi saya, susah nak konsisten. Entah kenapa.

Doa "Bismillahillazi la yadurru..."ila akhir sebanyak 3 kali pagi dan 3 kali petang. Malam pun elok juga.

Khatam Quran dengan 3 kali Al Ikhlas atau 2 kali Al Fatihah

Tiga Qul sebelum tidur dan bangun pagi

Ada banyak lagi amalan lain selain di atas yang amat ringkas, tetapi cukuplah dulu. Cubalah amal kalau rasa berminat. Agar hati lebih dekat dan terjaga. Ada juga amalan untuk jaga siqah dan 'masin mulut'. Soal itu saya tidak berani ulas panjang sebab bukan bidang saya. Soal utamanya, keikhlasan.

Kalau nak elok lagi, adalah menjadi amalan wajib orang Islam membaca ayat daripada al-Quran seminima 100 ayat sehari. Kita pernah amalkan?. Ini pernah ditekankan oleh Ustaz Dato' Ismail Kamus dalam ceramahnya.

Nak amalan lagi baik, jangan tinggalkan 4 surah utama iaitu Ar Rahman, Yassin, Al Mulk dan Al Waqiah. Bukan sebulan sekali tetapi sekali sehari.

Ada lagi tambahan kalau rasa mampu, seorang guru pondok turunkan amalannya yang mana untuk memudahkan urusan dan perjalanan hidupnya seharian serta tidak akan sesat di mana-mana sahaja, amalkan dan hafal surah al Ankabut. Ada berani?

Pendek kata, amalan itu wajib tetapi buatlah sekadar termampu. Tetapi jangan diukur kemampuan dengan kemalasan yang ada. Tetapi haruslah ditingkatkan dari masa ke semasa. Selain itu keikhlasan harus didepan.

Manakala amalan tertentu seperti bagi perubatan tradisional mahupun amalan berbentuk tindakan, haruslah memilih guru yang baik dari sudut ilmu dan siqahnya.


Share/Save/Bookmark
Mahkamah Membebaskan Tanpa Melepaskan Penganggur Di Bawah Tuduhan Rogol Seksyen 376 Kanun Keseksaan

By Admin on 12/09/2009 03:41:00 PM

komen (0)

Filed Under:

Mahkamah Sesyen Klang hari ini membebaskan tanpa melepaskan seorang penganggur yang ditahan dan didakwa di bawah seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi satu kesalahan rogol di kawasan Klang beberapa tahun yang lalu.

Kes dipanggil untuk bicara pada pagi ini tetapi saksi utama di dalam kes tersebut iaitu pengadu yang juga mangsa rogol tidak melaporkan diri sebagaimana sebelumnya.

Kes dipanggil sekali lagi jam 11.00 pagi dan disahkan ketidakhadiran saksi utama dan pihak pembelaan memohon agar kes di DNAA kan.

Pihak Mahkamah bersetuju dan membebaskan tanpa melepaskan pihak tertuduh atas alasan saksi tidak hadir ke Mahkamah dan tidak dapat dipastikan kedudukannya.



Share/Save/Bookmark
Kes Sambung Bicara Di Bawah Pertuduhan Rogol, Seksyen 376 Kanun Keseksaan Ditetapkan Pada Januari 2010

By Admin on 12/09/2009 04:10:00 AM

komen (0)

Filed Under:

Mahkamah Sesyen menetap tarikh selama dua hari bagi sambung bicara bagi satu kes pertuduhan di bawah seksyen 376 Kanun Keseksaan setelah pembicaraan dijalankan selama dua hari yang berakhir pada petang tadi.

Seramai 4 saksi Pendakwaan telah pun memberikan keterangan sehingga ke hari ini dan pihak pendakwaan menyatakan masih ada 3 saksi pendakwaan yang bakal di panggil iaitu SP1, mangsa di dalam kes tersebut bagi klarifikasi dan tender beberapa ekshibit dan soal balas pihak Pendakwaan yang dibenarkan penangguha oleh pihak Mahkamah yang Mulia.

Manakala selebihnya adalah doktor, pegawai tangkapan dan Pegawai Penyiasat bagi kes tersebut.

Pihak peguambela yang baru dilantik dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen untuk menangguhkan sesi soal balas kepada saksi pertama pihak Pendakwaan yang juga mangsa bagi mendapatkan satu nota keterangan lengkap daripada pihak Mahkamah untuk diteliti sebelum soal balas boleh dibuat.

Antara alasan permohonan peguambela baru dilantik dan tidak hadir semasa soal utama kepada saksi pertama pendakwaan dibuat dan tiada nota lengkap mengenainya.

Setakat hari ini pihak Pendakwaan telah memanggil Pengadu, Pekerja Sosial di WAO, nenek mangsa dan jurufoto polis.


Share/Save/Bookmark
Pekerja Am Di DNAA Di Mahkamah Sesyen & Dituduh Di Mahkamah Majistret

By Admin on 12/08/2009 04:55:00 AM

komen (1)

Filed Under:

Mahkamah Sesyen membebaskan tanpa melepaskan seorang pekerja am di bawah tuduhan seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya setelah dimaklumkan mengenai keputusan ujian dan analisa dadah yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kimia Malaysia pada hari ini.

Permohonan pembebasan tersebut dimohon oleh pihak pendakwaan dan dibenarkan oleh pihak Mahkamah Sesyen dan membenarkan didakwa di Mahkamah Majistret bagi nilai berat yang setelah ujian oleh Jabatan Kimia di sahkan melalui satu laporan yang diberikan kepada kesemua pihak pada hari ini.

Nota: Pada tahap berat tertentu sehingga didakwa di bawah pertuduhan seksyen 39A(2) di atas adalah di dalam bidangkuasa Mahkamah Sesyen yang mana tiada jaminan dibenarkan ke atas Orang Kena Tuduh di bawah seksyen sedemikian. Sabit hukuman di bawah seksyen 39A(2) ADB adalah penjara minima 5 tahun dan maksima 20 tahun dan sebatan minima 10 kali.



Share/Save/Bookmark
Kes Rogol Sumbang Mahram Dibenarkan Penangguhan Singkat

By Admin on 12/07/2009 03:33:00 PM

komen (0)

Filed Under:

Hari ini Mahkamah Sesyen Klang membenarkan memberikan satu penangguhan kepada pihak Pendakwaan bagi memastikan dan membawa isu Pengadu yang berhasrat untuk menarik balik kes dan tidak berminat untuk hadir ke Mahkamah untuk memberikan keterangan.

Hari ini ditetapkan untuk pembicaraan dan pihak Pembelaan bersedia. Bagaimanapun atas permohonan penangguhan tersebut, pihak pembelaan memohon agar kes tersebut di DNAA kan atas alasan anakguam telah direman semenjak 2007 tanpa ditawarkan apa jua jaminan dan permohonan jaminan yang dibuat juga telah ditolak oleh pihak Mahkamah sebelum ini.

Saksi utama iaitu pengadu juga tidak pernah hadir ke Mahkamah pada setiap kali pembicaraan dan dirujuk kepada minit-minit Mahkamah yang Mulia.

Mahkamah bagaimanapun memutuskan memberikan tarikh akhir bagi mendapat arahan lanjut daripada pihak Pendakwaraya ke atas permohonan pihak Pengadu dan satu tarikh singkat selama seminggu ditetapkan bagi tujuan tersebut.



Share/Save/Bookmark
Kes Sivil Mengenai Isu Pertikaian Tanah Selesai Di Mahkamah Tinggi Hari Ini

By Admin on 12/02/2009 09:28:00 PM

komen (0)

Filed Under:

Perjalanan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu agak leceh sedikit hari ini kerana hujan yang amat lebat semenjak semalam sehingga menyebabkan beberapa tempat dan laluan dinaiki air. Situasi ini bukan sahaja mengganggu kelancaran lalu lintas tetapi turut mengundang langkah berjaga-jaga beberapa pihak termasuk gangguan kepada perjalanan urusan seharian kerana kebimbangan aras air yang semakin meningkat.

Bagaimanapun, lega sedikit bila hari ini boleh dikatakan pertikaian di Mahkamah Tinggi mengenai satu pertikaian mengenai sekeping tanah antara beberapa penduduk sekampung dan ditambahkan lagi isu faraidh dan pewarisan yang masih tidak selesai. Semuanya dikatakan bermula daripada beberapa pihak tidak bersetuju pada perjualan asal beberapa bahagian tanah tersebut.

Penyelesaian dibuat melalui perbincangan dan persetujuan direkodkan di hadapan Yang Arif Hakim pada pagi tadi. Hanya 3 terma persetujuan dinyatakan dan kesemua pihak bersetuju melalui peguamcara termasuk saya yang menghadirinya bagi pihak Pemohon.

Sememangnya apa yang dimohon tidak semestinya itu yang kita bakal dapat mahupun target utama kita, tetapi matlamat dan rasional keputusan daripadanya adalah lebih penting.

Isu keadilan dan hak kepada pihak Pemohon terjamin dan diberikan hak sepenuhnya adalah di dalam lingkungan sebagaimana yang dimohon adalah suatu keutamaan. Selebihnya adalah bonus.





Share/Save/Bookmark