Tuesday, December 29, 2009

Kita Merancang dan Allah Juga Merancang, Dan Allah Jua Sebaik- baik Pada Rancangan.

Selepas tamat pembicaraan kes bunuh di Ipoh, sememangnya di dalam perancangan saya akan berada di utara bagi beberapa perkara. Pulau Pinang, Kedah dan Perlis ada dalam perancangan tetapi Kelantan turut di dalam perancangan awalnya.

Akibat kepenatan mungkin, malas yang amat buat saya singgah di Juru untuk makan malam yang agak awal dan membasahkan badan serta apa yang patut. Dah tidak larat mahu balik ke Kuala Lumpur. Hasratnya berubah untuk terus ke Kelantan malam tu juga. Kalaulah saya pusing ikut Gerik tadi, saya dah jimat 2 1/2 jam dan melebihi 250km. Tapi sudah terlambat. Dah rezeki pakcik kedai tu untuk makan malam saya.

Dalam hati, ada juga membebel kenapa tersasar sebegini. Dengan penat dan jarak yang amat jauh ke Kelantan, saya gagahkan untuk lencong di laluan Gerik (Timur) melalui Lunas. Saya singgah sekejap di Petronas di situ. Mungkin ada rezeki berjumpa kawan lama sesambil hilangkan penat sementara meneruskan perjalanan yang telah jauh tersasar.

Di dalam perjalanan saya singgah sebentar di Kulim bagi satu tujuan yang saya sendiri tidak pasti kenapa saya patut singgah. Ini sememangnya tiada di dalam perancangan awal. hanya terdetik di dalam perjalanan ke utara malam tersebut.

Saya rehat dalam 30minit di tepi jalan sebelum masuk ke sebuah kedai makan kecil untuk bertanyakan lokasi sebuah rumah. Saya katakan yang saya cuma ada satu nama tanpa alamat kecuali perkataan Kulim. Saya dapat mengagak, abang tu mungkin fikir "dia ni pakai je kereta besar, otak kicik". Niat awal hanya ingin tanyakan sesuatu, bukan berhajat untuk ke rumah si penama.

Dari satu payung di meja bahagian tengah kanan, ada orang melambai saya. Astagfirullah al azim.. dengan nada keluh terkejut. Macamana tahu saya di sini? tanyanya kehairanan. Semua ini kebetulan kot, jawab saya yang masih teragak-agak dengan wajahnya. Saya cuma melihat sekali wajah pemuda tersebut di Masjid Pengkalan Chepa apabila beliau cuba datang ke Kota Bharu untuk berjumpa dengan saya semasa cuti hari raya korban tempohari. Itupun Baihaqi tersipu-sipu di sebalik tubuh saya. Dipanjat sekali sekala.

Beliau mengajak saya ke rumah orang tuanya yang tidak jauh daripada situ. Cara tuturnya memang rumah tersebut tidak jauh. Tetapi cara tunjukkan jarinya, saya tidak lihat mana-mana rumah yang dimaksudkan. Saya menolak dengan alasan perjalanan saya masih jauh dan janji saya hanya datang ke Kulim untuk bertanyakan khabar. Beliau mengangguk tanda setuju. Saya beredar setelah berborak selama 10 minit lebih kurang.

Semasa beredar, saya pasti jam sudah mencecah jarum 10.30 malam. Perjalanan ke Kelantan masih jauh dihiburkan dengan bas ekspress yang amat laju di lereng-lereng bukit Gerik. Berseringau juga selisih dengan bas-bas ekspress. Maklumlah jalan di sana lebih mengerikan dengan kelajuan yang dipamerkan berbanding dengan laluan Kota Bharu - Kuala Lipis - Kuala Lumpur.

Dalam hati, saya sudah lewat. Sangat lewat. Lambat lagi subuh tetapi saya perlukan rehat juga kerana sudah jauh perjalanan ditempuh dengan rehat yang tidak mencukupi dalam melaksanakan tugas di Ipoh. Semasa melintasi simpang ke Gerik Pengkalan Hulu, rasanya jam dah menunjukkan jam hampir 12.00 malam.

Buat kami pertama malam tersebut, saya melihat gajah 4 beranak melintasi jalan di Tasik Banding. Penuh lumpur di badannya buat gambaran mereka agak kabur pada fizikal mereka. Kalaulah kenderaan di depan tidak perasan, lenyeklah kereta tersebut. Malam-malam pun berderak juga.

Saya pecut manjang malam tersebut menghambat rasa mengantuk. Sesampai di Jeli, saya singgah di sebuah kedai. Dalam mamai, saya nampak jam baru nak masuk pukul 1.00 pagi. Takan laju sangat pemanduan tokoh pemandu berhemah kali ini. Di sini mulainya ramai yang menyinggah pada masa tersebut. Saya pandu kereta ke depan sedikit dan belok ke Caltex serta lena sekejap. Sekejap itu dari jam 1.30 pagi sehingga sedar jam 4.30 pagi.

Hajat hati nak subuh di belakang Tok Guru hari ini. Belakang baris akhir pun tidak apa. Tidak tahu kenapa, rasanya kebanyakan masa malam ini macam serba tidak kena. Saya masuk ke Kota Bharu melalui jalan Salor pada jam 5.20 pagi. Tidak lama lagi subuh nak berbunyi. Kereta menyusuri di tepi Kubang Kachang ke Telipot ikut jalan belakang. Tempat saya nyaris langgar orang pagi itu.

Sesampai di satu simpang, tetiba gatal pula batalkan niat untuk berjemaah di belakang Tuan Guru Menteri Besar. Sebaliknya saya memandu ke satu tempat yang saya tidak tahu kenapa perlu ke sana. Sebaik mendengar azan yang makin tamat dilaungkan, saya membelok masuk ke sebuah surau.

Alhamdullilah, surau tersebut juga buat Sujud Sajjadah pagi tersebut. Kebiasaaan bagi masyarakat Kelantan. Namun yang menarik pada pagi tersebut, sebaik tamat sembahyang subuh Imamnya yang hanya berbaju melayu dan kopiah biasa itu menghulurkan salam kepada semua jemaahnya dan bila sampai giliran saya, tangannya agak erat disalamnya berbanding yang lain. Masa itu saya fikir mungkin disebabkan pakaian saya yang agak simple dengan seluar silat. Sebagai peringatan kot.

Tidak pula saya sangka, dia menegur "apa khabar la ni. mari mano dengan gini paggi buto".. saya kata cuma menjawab ringkas yang saya daripada KL. Baru sampai. Jawapan yang lebih mudah daripada dijawab daripada Ipoh kemudian ke Pulau Pinang ke Kulim masuk Gerik dan tidur lama di Jeli. Imam berlalu dengan senyuman. Tetapi siapa dia?

Allah juga yang berkuasa tiap atas sesuatu. Seingat saya, dia adalah pakcik yang selalu berselisih dengan saya di tahun 90an dulu. Sering memberikan senyumannya.

Saya masih merasakan seperti kehilangan masa daripada malam tadi.


3 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►