Saturday, October 17, 2009

Maafkan Saya, Komitmen Saya Kepada Masyarakat Terlalu Besar. Jangan Perlekehkan Masa Saya.

Kita ada amanah kepada masyarakat, maka bagaimana amanah kita dalam menentukan hala tuju kepada masyarakat. Ada rakan saya memilih melalui bidang agama dan kebajikan sebagai ustaz, dakwah dan rumah-rumah kebajikan.

Ada rakan saya yang memilih rawatan Islam sebagai medium. Seorang rakan pernah memaklumkan saya "saya dah pilih cara ini untuk mendakwah kepada Islam, Kebanyakan yang bermasalah adalah mereka yang kurang agama. Maka ini adalah dakwah saya." Saya mengangguk tanda setuju mengenainya. Malah saya amat mengagumi mereka kerana masa yang diluangkan demi amanah membetulkan masyarakat peringkat bawahan tanpa mengharapkan nama dan balasan.

Kita melihat masyarakat kita berkembang. Selaras dengan perkembangan maka ada perubahan. Amanah kepadanya berada di antara perubahan itu. Bagaimana kita membantu perubahan corak sosial dalam masyarakat. Mahu atau tidak, kita tidak boleh nafikan amanah tersebut dan harus memilih bagaimana ingin membantu masyarakat dalam membangun bersama. Dalam masa yang sama membantu dalam penentuan corak sosial masyarakat di masa hadapan dengan pemikiran, akademik sifat dan sikap.

Ada rakan mengajak membantu dalam politik. Ada rakan mengajak saya aktif dalam rawatan Islam. Ada rakan saya mengajak untuk aktif membantu badan kebajikan. Masing-masing ada cara untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab itu.

Saya memilih silat untuk membantu masyarakat saya. Itu cara saya dan maafkan saya atas kekurangan dan tidak dapat memenuhi permintaan anda. Tetapi komitmen saya terlampau tinggi melalui silat. Saya hanya lapang pada selasa malam. Selebihnya di gelanggang. Tiada masa untuk keluarga kecuali sedikit terluang di hari sabtu dan selebihnya anak saya membesar di gelanggang silat.

Anak saya terlebih dahulu mempelajari perkataan "kick" dan "punch" sebelum pandai menyebut baba dan ummi. Itu komitmen saya kepada masyarakat. Masa saya amat padat dan terhad untuk peribadi.

Saya memilih jalan yang tidak memberikan ruang untuk saya berjalan lebih jauh berbanding politik. Saya memilih jalan yang tidak banyak memberikan kelebihan kewangan sebaliknya menuntut pengorbanan masa dan wang. Saya tidak mengejar nama dalam politik mahupun keuntungan secara halus daripadanya. Saya tidak mohon disanjung. Cukup kalau pengorbanan ini ada harga untuk dibarter di dunia kedua kita.

Terima kasih atas sokongan anda dan pelawaan anda, saya terpaksa menolak beberapa perkara atas dasar saya telah memilih suatu yang tidak menguntungkan tetapi ia menyenangkan saya.

1 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►