Thursday, October 1, 2009

Serambi Mekah, Hidup Dalam Budaya Islam

Negeri Kelantan amat sinonim dengan gelaran Serambi Mekah. Adakah memang sosialnya Mekah. Adakah rakyatnya bersifat muslim mekah atau apa yang menarik mengenai peniruan dari Mekah dalam negeri ini.

Dahulunya saya dok ingat gelaran tersebut adalah sinonim dengan sistem pendidikannya yang masih banyak sekolah agama rakyat. Masih banyak mempertahankan sistem pembelajaran pondok yang dibuka banyak di seluruh pelusuk negeri Kelantan. Selain daripada itu, terdapatnya tabung besar di bawah pemerintahan PAS iaitu Tabung Serambi Mekah. Malah negeri ini amat mahir dalam pendidikan bahasa arabnya.

Tetapi satu kelainan ingin saya kongsikan bahawa sememangnya sosial dan amalan budaya agama di Kelantan agak berlainan secara am berbanding di negeri ini.

Menjejakkan kaki ke Kelantan semasa balik beraya tempoh hari tidak merubah amalan biasa, terawikh saya masih di rumah. Saya hanya berterawikh di masjid kalau imamnya membuat bacaan mengayikkan dan memberikan kelainan.

Kelantan amat menyejukkan jiwa apabila masjidnya agak penuh dan dikerumuni jemaah walaupun tidak dalam ramadhan. Gambaran yang jarang dilihat di negeri tumpangan saya. Malah di negeri ini, rata-rata memakai kopiah. Lagi menyejukkan hati.

Orang naik beca sehinggalah naik kereta mewah memakai kopiah seolah tradisi sunnah ini selari dengan amalan harian mereka. Ini pemandangan yang jarang dan amat payah ditontoni di negeri tumpangan saya. Ketika saya berkopiah di merata Puchong ini, semua seolah menjeling. Mungkin hati mereka tertanya 'ustaz mana ni'..

Saya memulakan jadual puasa di Kelantan dengan melawat wakil rakyat saya seperti biasa yang diamalkan semenjak saya kahwin setiap kali balik ke Kelantan. Sekurang-kurangnya satu kali saya akan melawat Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz selaku wakil rakyat kawasan saya. Mana boleh tidak melawat sedangkan hubungan kami amat rapat dan kenal sudah agak lama, cuma dia saja tidak kenal saya. Bagaimanapun, kad raya Tuan Guru diterima setiap tahun.

Macam biasa, untuk mendapatkan saf subuh dibelakang Tuan Guru kini bukannya isu yang mudah. Di sini antara tempat yang boleh dilihat jemaah berebut untuk mendapatkan tempat sujud mereka. Selain daripada masjid Tok Guru, mungkin anda hanya boleh lihat ini di Masjid Nabawi dan sekitar Makam Nabi Ibrahim sahaja.

Kehadiran pada saat azan subuh baru sahaja dilaungkan, tidak memberikan sebarang tanda bahawa kehadiran itu terlalu awal. Sebaliknya mengingatkan saya kepada iklan lama "Tahun Depan Pak Haji Kena Bayar Awal!" Hanya budak seusia dan sezaman saya mengetahui mengenai iklan terkenal suatu ketika dahulu.

Saya masuk dengan meletakkan kenderaan berlapis. Dalam hati, sudah tentu tak bersalam dengan Tuan Guru hari ini. Lagipun saya ni pemandu yang amat berhemah, mana pernah parking berlapis.

Di kawasan sekitar ada kenderaan yang sarat dengan penumpang. Rajin bawa keluarga bersubuh dengan Tuan Guru sampai anak-anak kecil turut mengekori. Sebenarnya itu perkara biasa yang mana mereka semua itu bermalam di dalam kenderaan bagi menanti subuh dan berjemaah dengan Tuan Guru sekali gus bertemu mata dengan pemimpin Kelantan yang disegani lawan dan kawan itu. Mereka itu semua pendatang dari negeri lain yang mengambil peluang untuk bertemu dengan pemimpin nombor satu Kelantan.

Hebat Negeri Serambi Mekah ini apabila membudayakan sebegini apabila mampu menyatukan antara dua mata tetamu dari luar dengan Tuan Guru semasa solat Subuhnya. Ada negeri lain mampu?

Di pagi jumaat kami berjemaah dengan Subuh Sejadah (Subuh yang membuat bacaan surah Sajadah di rakaat pertamanya) iaitu satu nama panggilan biasa bagi Subuh yang pernah dilakukan oleh Rasullulah pada pagi jumaat. Masa kecil dulu abah sering bawa ke surau. Tapi saya tidak pernah tanya, "apa kaitan sejadah dalam subuh ini". Mungkin masa itu saya masih dalam darjah 4-5. Kecil sangat untuk memahami. Tetapi nakal untuk membuat andaian bahawa "mungkin menghormati sejadah". Masa itu, otak saya masih banyak israel. Sekarang pun sama juga, cuma kekadang otak amerika pun ada.

Atas dasar nakal dan jahil untuk bertanya itulah, subuh sejadah saya yang pertama hampir menyaksikan saya rukuk. Kenangan lampau.

Apabila Tuan Guru mula membacakan ayat-ayat daripada surah Sajadah dan Mulk, ternyata walaupun tidak pernah saya hafal surah tersebut tetapi lidah ini masih boleh mengikutinya dan cuba-cuba untuk menyambung ayat-ayat surah tersebut. Ini mengingatkan saya mengenai cara hidup dan bagaimana kami dibesarkan dalam satu budaya beragama. Ini menambahkan lagi pemahaman yang sedia ada mengenai konsep budaya Serambi Mekah yang telah digunapakai di negeri ini.

Selesai subuh, Tuan Guru membawa kelainan apabila zikir pagi itu agak panjang dan melebihi yang biasa saya lihat di Astro Oasis. Walaupun suara Tuan Guru bukan sehebat Afasy mahupun Al Basheer ataupun Ustaz Zulkarnain Pondok Lubuk Tapah tetapi auranya membuat sesiapa lekat di tempatnya.

Bukan menarik minat saya mengenai zikir Tuan Guru kerana bagi saya ia adalah suatu kebiasaan bagi kami walaupun bagi saya amat luarbiasa kalau saya yang buat. Tetapi duduk di dalam lingkungan jemaah penduduk kampung Kelantan yang hidup menjalankan kehidupan biasa di dalam budaya Kelantan amat mengembirakan hati perantau seperti saya.

Mana tidaknya, pepagi buta kiri kanan telinga saya didendangkan dengan bacaan amalan seperti surah Al Waqiah. Hebat pakcik kampung ini. Dengan selekeh dan pakai biasa tetapi surah sepanjang al Waqiah yang 96 ayat mampu dilisankan tanpa teks. Saya hanya mampu mengambil peluang untuk mengekori ayat-demi ayat dari belakang. Sesekali saya lebih tercepat bacaannya daripada pakcik sebelah. Tak sangka pula ayat-ayat itu masih terngiang di kepala saya walaupun kini jarang saya amalkan walaupun suatu ketika dahulu saya mewajibkan Waqiah dan Yasin setiap hari ke atas diri saya.Terasa amat jahil dibandingkan dengan orang-orang tua itu dibandingkan dengan saya yang telah dibudayakan oleh agama di Selangor.

Selesai dengan zikir dan doa, seperti biasa jemaah kami di Masjid Tok Guru masih tetap dan kuliah subuh akan dimulakan oleh Tuan Guru. Bezanya hari ini beliau melihat muka kami. Pada kali terakhir, kuliah atau tazkirah hanya diberikan kepada jemaah dengan Tuan Guru masih berdepan dengan kiblat. Dalam hati saya terdetik, hari ini Tuan Guru tiada modal tazkirah. Kerana ramai yang sudah memenuhi tepi pintu masjid untuk membelah mulut anak-anak kecil mereka. Maka tazkirah beliau berkisarkan mengenai bayi. Dari masa asalnya, bagaimana nak menyambutnya. Apa dia budaya, dan yang mana adat serta sunnah.

Atas dasar kedengkian yang amat-amat dengan pakcik tua sebelah saya, sekembali saya daripada Masjid Tok Guru pagi itu, saya mula balik amalan al Waqiah saya sebagaimana yang dibekalkan oleh guru saya suatu ketika dahulu.

"Waqiah ni kalau boleh shekali shari jangan tinggal lagi hidup. Jangan pasang niat pulakk. Ini amalan yang ada hadis. Tak payah nak ijazah apa. Amalan ini macam bershenam untuk tenaga. Shilat takpayah berlatih, dia akan keluar sendiri bila nak pakai. Tapi kalau stamina takde, buah silat tak keluar dah. Hishham (sengaja doublekan H, agar dapat agak dia orang apa) paham?

Tidak fasal-fasal saya dengan bebel di waktu terik begitu. Menariknya dapat ilmu walaupun cakapnya macam ada niat nak tambat saya di tiang masjid tu.

Bila fikirkan mengenai budaya agama di Kelantan ini, saya rasa hebat orang Kelantan ini. Tetapi generasi kini banyak tersasar. Mungkin saya ini boleh termasuk sekali. Selepas hari itu, saya pun kerap baca susunan ayat manzil dan ruqyah yang sentiasa di dalam poket baju kerja saya.

Secara berseloroh saya kata kat isteri saya; "DIGI takde line sehari dua ni sebab dok baca ruqyah je... hantu kuning takut nak dekat"

2 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►